KUALA LUMPUR, El Sky News- Dewan Rakyat hari ini menjadi saksi kepada kritikan hebat yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Abdul Karim, terhadap syarat perjanjian yang didakwa dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas syarikat minyak nasional, Petronas, berhubung pembelian Gas Asli Cecair (LNG).
Beliau mempersoalkan kedaulatan negara dan peranan perunding dalam perjanjian ini. “Petronas ini mencari gali minyak dan gas. Kita jumpa di perairan kita dan di negara lain… tetapi bagaimana perjanjian kita dengan Amerika ini, Amerika mengenakan syarat? Petronas kena beli LNG… setiap tahun sebanyak $3.4 bilion AS, bukan Ringgit. Ini satu penyerahan! Ini kata negara kita merdeka, berdaulat, bagaimana ni?” soal beliau.
Dalam ucapannya yang lantang dan penuh emosi, YB Hassan mendedahkan bahawa perjanjian tersebut mewajibkan Petronas membeli LNG dari AS pada setiap tahun dengan nilai mencecah $3.4 bilion AS (Bukan Ringgit Malaysia). Beliau menyifatkan amaun dan syarat ini sebagai satu bentuk “penyerahan” kekayaan negara kepada kuasa asing.
Beliau turut membangkitkan sejarah negara berjuang menentang penjajah, melahirkan rasa kecewa kerana kini negara dilihat seolah-olah menyerahkan sumber kekayaan kepada kuasa asing, terutamanya merujuk kepada Presiden AS, Donald Trump, (yang didakwa) “menjahanamkan Gaza bumi Palestin.”
Isu ‘Rare Earth’ dan Penggadaian Ekonomi
Selain isu LNG, Ahli Parlimen itu turut menyentuh hal-hal berkaitan sumber asli lain, seperti Nadir Bumi (Rare Earth). Beliau mendakwa terdapat syarat dalam perjanjian yang memaksa Malaysia menjualnya kepada Amerika Syarikat dan tiada sesiapa dibenarkan menghalang.
“Ini yang perunding-perunding ini, Menteri MITI ni, apa yang mereka runding ini? Ini penggadaian negara kita, ini memalukan!” tegas beliau, menuntut penjelasan tuntas daripada pihak Kerajaan.
YB Hassan Abdul Karim juga menekankan kontradiksi dalaman Petronas, dengan menyebut isu tunggakan bayaran royalti kepada negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu, selain janji yang belum ditunaikan kepada Sabah dan Sarawak. “Kita bergaduh sama sendiri, tapi berbilion kita bagi pada Amerika. Saya tidak bersetuju!” akhiri beliau
Perkembangan Terkini: Petronas Sememangnya Membeli LNG AS
Siasatan lanjut mendapati Petronas LNG Ltd pada Jun 2025 telah memeterai Perjanjian Jual Beli LNG dengan Commonwealth LNG, LLC, untuk membeli satu juta tan setahun (1 MTPA) LNG dari Amerika Syarikat selama 20 tahun.
Namun, amaun $3.4 bilion AS setahun yang didakwa oleh YB Hassan Abdul Karim sebagai nilai pembelian LNG wajib dari AS tidak dinyatakan dalam kenyataan media rasmi syarikat. Nilai sebenar pembelian LNG tersebut mungkin tertakluk kepada harga pasaran global dan butiran perjanjian komersial.
