KUALALUMPUR, El Sky News – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan sesuatu yang membuat ramai terkejut, bukan tentang RMK13 atau bajet baharu, tapi tentang tetamu istimewa dunia yang bakal menjejak kaki ke Malaysia: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump!
Pengesahan kehadiran Trump dikatakan dibuat menerusi panggilan telefon seawal 6.50 pag iwaktu di mana rakyat Malaysia biasanya baru nak mencari teh tarik pertama. Walaupun panggilan itu berlangsung sebelum waktu pejabat, ia nampaknya cukup untuk mengubah rentak diplomasi rantau ini (dan mungkin juga jadual trafik KL nanti).
Sebelum ini, Anwar telah menjemput Trump secara rasmi untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadualkan pada 26 hingga 28 Oktober. Jemputan itu disampaikan melalui Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang datang ke Parlimen pada 10 Julai lalu. Kunjungan yang lebih serius daripada sekadar pelancongan KLCC.
Dalam pertemuan selama 40 minit itu, kedua-dua pihak berbincang mengenai pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan, pendidikan, dan isu serantau seperti Palestin, Ukraine, serta Myanmar. Pendek kata, topiknya campur aduk, dari global ke lokal hanya tinggal topik nasi lemak dan durian yang belum disentuh.
Anwar turut menegaskan bahawa hubungan erat Malaysia-AS penting untuk kestabilan Indo-Pasifik. Namun, di media sosial, tumpuan lebih kepada satu soalan penting yaitu adakah Trump akan cuba makan nasi lemak dengan tangan atau guna sudu garpu?
Persiapan menyambut kedatangan pemimpin berambut legenda itu sedang dirancang rapi. KLIA dikatakan mungkin akan “bercahaya lebih terang sedikit”, manakala hotel-hotel lima bintang di ibu kota mula bersiap sedia menghadapi kehadiran konvoi panjang dan kamera berita antarabangsa.
Jika semuanya berjalan lancar, Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bukan sahaja akan membincangkan isu rantau, tetapi juga bakal mencipta detik sejarah: kali pertama Donald Trump menjejak kaki di Malaysia dan mungkin juga kali pertama nasi lemak menjadi alat diplomasi rasmi.
SUMBER FOTO: HUFFPOS
